Bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Tengku Putera Tengku Awang hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Setiausaha dewan, A.Rahim Jusoh mengisytiharkan pelantikan Tengku Putera, 49, setelah namanya dicadangkan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tengku Putera berpengalaman luas dalam politik dan merupakan bekas Anggota Parlimen Hulu Terengganu pada penggal lepas. Pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua DUN adalah bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh.

Antara jawatan politik Tengku Putera ialah sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Majlis kemudian disusuli dengan upacara mengangkat sumpah oleh 32 wakil rakyat yang diketuai Ahmad.

Turut hadir ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan ADUN Rhu Rendang.

Ahmad ketika ditemui pemberita di luar dewan berharap wakil-wakil rakyat dapat mengemukakan pandangan serta berhujah dengan fakta-fakta yang bernas demi kepentingan rakyat Terengganu.

Pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu apabila memenangi 24 kerusi DUN manakala lapan lagi kerusi dimenangi PAS.

Majlis perasmian sidang DUN akan disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman esok. Sidang DUN Terengganu akan berlangsung sehingga Khamis ini.

Comments are closed.